Thursday, 31 January 2019

Membina Ayat

Teks: Mazlina binti Omar

Sesi pengajaran dan pembelajaran diteruskan. 

Ina terangkan tentang Bahagian A Bina Ayat. 

Jumlah soalan: Satu
Bahan Rangsangan: Satu
Masa Menjawab: 15 minit

Jumlah perkataan: Tiada had.

Markah Penuh: 10 markah

Arahan Soalan:

✍🏿Menulis 5 ayat yang lengkap dengan berdasarkan bahan rangsangan yang diberikan.

✍🏿Jika arahan soalan,  "Tulis lima ayat bagi setiap gambar", maka satu gambar hanya boleh ditulis SATU ayat sahaja. Jika murid menulis dua ayat bagi satu gambar yang sama, maka tiada markah untuk ayat yang kedua.

✍🏿Ayat yang dibina boleh diletakkan dengan nama watak seperti Maryam, Siti, Ahmad dan lain-lain.

✍🏿Penggunaan kata nama am dan kata nama khas sebagai subjek diterima.

✍🏿Ayat yang ditulis dan dibina mestilah gramatis, iaitu strukturnya menepati rumus tatabahasa.

✍🏿 Isi atau idea mestilah mengandungi subjek dan peluasan predikat ATAU peluasan subjek dan peluasan predikat.

✍🏿Gunakan nombor 1,2,3,4 dan 5 bagi setiap ayat. Sebaik-baiknya selang sebaris untuk menjarakkan ayat 1 dan 2 supaya lebih kemas.

✍🏿Ayat yang dibina mestilah menggunakan idea yang berbeza.

✍🏿Setiap ayat mestilah mengandungi isi atau idea yang tersurat dengan berdasarkan grafik.

Jenis bahan rangsangan:
❤Gambar tunggal
❤Gambar bersiri
❤Carta
❤Peta i-Think
❤Jadual
❤Gambar rajah
❤Poster
❤Iklan
❤Lain-lain


Perkara Haram semasa membina ayat: ✍🏿Haram bermaksud larangan semasa membina ayat.

✍🏿Haram menulis  seperti "Gambar di atas menunjukkan......"

✍🏿Haram menulis kata ganti nama diri "Saya" seperti "Keluarga saya".

✍🏿Haram membina ayat dengan menulis masa seperti "Pada pukul 3.00 petang".

✍🏿Haram menggunakan penanda wacana seperti "Seterusnya, bapa Mazlina mengangkat barang ke dalam rumah".

✍🏿Haram menulis pakaian berwarna seperti "Razlan memakai baju merah".

Semua perkara "haram" di atas menjadi “wajib tulis” jika dinyatakan dalam soalan. Pemarkahan LPM sentiasa berubah-ubah...... Jadi mesti sentiasa alert.

Penggunaan kata bantu 'sedang' masih diterima dalam UPSR 2017 dan 2018, justeru penggunaanya masih boleh digunakan hingga tahun ini, 2019.

Selamat menjawab Ujian Januari dan Kertas Percubaan UPSR Januari

Menulis karangan jenis surat kiriman tidak rasmi

Teks: Mazlina binti Omar
Hari ini ramai yang meminta Ina memberikan panduan menulis surat kiriman tidak rasmi. Ini kerana, dalam Edisi Januari, Ina meminta murid menulis karangan jenis surat kiriman tidak rasmi. Buat pengetahuan ibu bapa, surat kiriman ini sudah lama tidak keluar dalam UPSR sebenar. Jadi, karangan jenis ini sesuai dimasukkan dalam senarai pendek ulang kaji, atau ramalan mak-mak. 
Jom belajar mengenai surat kiriman.
Mak-mak sekalian, 
Karangan jenis surat kiriman tidak rasmi merupakan karangan berformat. Maksud karangan berformat, dalam erti kata mudah adalah karangan yang mengandungi "sistem dan peraturan". Beritahu kepada anak sedemikian supaya anak lebih memandang serius apabila mendengar karangan berformat. 
Surat kiriman tidak rasmi bersifat peribadi dan ditulis kepada rakan, ahli keluarga, saudara-mara dengan pelbagai tujuan. Antara tujuan surat dikirim adalah untuk mengucapkan tahniah, bertanya khabar, mengundang atau menceritakan sesuatu perkara atau peristiwa.
Mak-mak harus ingatkan anak-anak, antara "sistem dan peraturan" dalam menulis surat kiriman tidak rasmi, adalah mengenai penggunaan kata ganti diri. Yang berikut ialah senarai kata ganti diri.
Ayah/ bapa saudara: ayahanda
Ibu / ibu saudara: ibunda/bonda
Anak: anakanda
Adik: adinda
Datuk/nenek: nenda/nenenda
Cucu: cucunda
Penerima lelaki: saudara
Penerima perempuan: saudari
Selain itu, tunjukkan cara-cara menulis alamat. Rupanya, dalam kelas Ina di pusat tuisyen, ramai lagi anak-anak yang masih belum tahu cara yang betul menulis alamat. 


* No. (masukkan nombor rumah) dan diikuti dengan koma(,)
*Jalan / Lorong diikuti dengan koma (,)
*Nama Taman diikuti dengan koma(,)
*Poskod dan Pekan/Daerah diikuti dengan koma (,)
*Negeri diikuti nokhtah (.)
Jangan lupa tulis tarikh. Tarikh ditulis di bawah alamat. Letak nokhtah (.) di hujungnya. 
 Apa lagi yang mak-mak perlu tahu supaya anak boleh menulis surat dengan baik?
Tunjukkan kaedah merangka karangan. Ketika menulis surat juga perlu ada kerangka. Ramai murid suka "hentam" sahaja. Jangan, jangan! Ingat Bahagian C ini, markahnya sangat tinggi, 25 markah tau.
Mulakan menulis dengan merapatkan tulisan di bahagian kiri. Tiada indent maksudnya. Ini kerana kita perlu mengikut format penulisan buku teks DBP. 
Setelah selesai menghurai isi dalam perenggan, sudahi dengan penutup. Tuliskan "Yang ikhlas" atau "Yang benar" dan diikuti tanda koma (,).
Di bawah "Yang benar" perlu disusuli dengan tandatangan pengirim surat. 

Selamat menjawab Kertas Ujian Januari dan Kertas Percubaan Peperiksaan UPSR Januari. 


Wednesday, 30 January 2019

Bagaimanakah cara menghantar skrip jawapan anak untuk disemak?

Teks: Hasnol bin Harun

Pertama:
Buat bayaran.

Kedua:
WhatsApp slip bayaran dan sertakan alamat e-mel.

Ketiga:
Kaedah (a)
Terima e-mel dan cetak. Minta anak jawab soalan pada kertas soalan bercetak.

Kaedah (b)
Terima e-mel dan tidak pelu cetak.
Minta anak jawab pada buku latihan dengan merujuk skrin komputer.

Anak juga boleh menaip jawapan. Kemudian terus e-mel atau WhatsApp.

Keempat:
Jika anak menjawab pada kertas soalan, sila tangkap gambar jawapan anak dengan baik dan jelas. Kedudukan gambar mestilah sudut tegak 90 darjah. Bukan melintang!
Terus WhatsApp atau e-mel.

Boleh dan lebih baik gambar-gambar tadi dipdf kan. Kemudia e-mel atau WhatsApp.

Pilih cara mengikut kesesuaian dan kemudahan masing-masing.

Mudahkan?

Pesanan akhir,
Mak-mak, kaedah penandaan dan pemarkahan sangat praktikal kerana berdasarkan pengalaman Ina, kaedah ini membantu anak kita meningkat dengan lebih cepat. Tambahan lagi, komen pemeriksa membantu anak kita membaiki kesalahan dan kaedah ini seperti belajar atau coaching one-to-one.  

Ina berikan contoh penandaan dan pemarkahan bagi latihan Edisi Orkid 2018.




Monday, 28 January 2019

Bina Ayat Gambar Bersiri

Teks: Mazlina binti Omar

Hari ini Ina akan menunjukkan contoh-contoh, "Bagaimana Membina Ayat Gambar Bersiri."
Untuk pengetahuan ibu bapa, gambar bersiri antara senarai soalan ramalan Ina.
Jom ibu-bapa belajar supaya boleh membantu anak-anak kelak.

.
BAHAGIAN A
[10 Markah]

Gambar bersiri di bawah menunjukkan aktiviti pada masa lapang yang dilakukan oleh Faizah. Tuliskan lima ayat yang lengkap tentang aktiviti-aktiviti yang dilakukannya berdasarkan gambar

Ayat 1 ( Gambar 1 iaitu gambar budak perempuan sedang berfikir)
Bagaimana dengan watak? 
Watak mestilah menggunakan nama yang telah diberi iaitu mengikut kehendak soalan.
Jika tidak mengikut kehendak soalan, maka akan berlaku penurunan gred pemarkahan.

Contoh-contoh ayat yang sesuai berdasarkan gambar 1.

Faizah bercadang untuk menanam sayur-sayuran di belakang rumahnya pada hujung minggu.

Faizah suka makan sayur-sayuran dan dia telah bercadang untuk menanam pokok terung di belakang rumahnya.

Faizah ingin menghabiskan masa lapangnya dengan menanam sayur-sayuran di belakang rumahnya.

Ayat 2 (Gambar 2 iaitu menanam dan menyiram)

Faizah memindahkan anak pokok terung dengan berhati-hati dan menyiram pokok tersebut setiap hari.

Selepas benih tumbuh menjadi anak pokok, Faizah mula memindahkan anak pokok terung itu ke batas yang telah disediakan oleh bapanya.

Ayat 3 (Gambar pokok terung)

Faizah begitu gembira kerana pokok terung tumbuh dengan suburnya dan mengeluarkan hasil.

Faizah gembira kerana dia dapat menjaga pokok terungnya dengan baik.

Ayat 4 (Gambar terung di dalam bakul)

Faizah memetik terung yang telah matang dan memasukkanya ke dalam bakul untuk diberikan kepada ibu dan jiran-jirannya.

Faizah menggunakan bakul rotan yang besar dan mengumpulkan terung-terung dengan berhati-hati agar hasil tanamannya itu tidak rosak.

Ayat 5 (Gambar terung yang telah dipotong)

Faizah berpuas hati kerana usahanya berbakti kepada tanah telah mendapat pujian daripada ibu dan jiran-jirannya.

Ibu Faizah memasak pajeri terung untuk dimakan pada waktu tengah hari bersama keluarga.

Faizah berpuas hati kerana isi terung sangat baik dan segar. 





Friday, 25 January 2019

Teknik Mengajar Anak Menulis

Teks: Mazlina binti Omar

Dalam kelas coaching ibu bapa Pakej Lengkap Belajar Di Rumah Tahun 2, ada ibu bapa bertanya, “Bagaimana membantu anak menulis dengan kemas?”
Ina kongsikan sedikit panduan seperti di bawah,
Lihat cara anak memegang pensel.
Jika ibu bapa mendapati ada kelainan dari segi cara anak memegang pensel maka, ajarkan cara memegang yang betul. Cara terbaik memegang pensel adalah dengan menggunakan tiga jari iaitu, ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu. Lihat gambar berikut.



Berbekas atau imprint/ stamp
Jika ibu bapa mendapati terdapat kesan imprint sama ada pada meja tulis atau muka surat yang berikutnya selepas menulis, ini bermakna anak terlalu memegang pensel dengan begitu kuat. Menulis dengan begitu kuat merupakan kaedah yang boleh menyebabkan anak kita cepat letih bukan sahaja pada pergelangan tangan, malah pada bahunya. Dulu, anak Ina, Hatim Hayyan juga begini gaya menulisnya. Konsentrasi Hatim sering terganggu, sebagai contoh, Hatim hanya mampu menulis karangan  sekadar 3 perenggan. Ini kerana dia sudah penat. Apabila fizikal penat maka otak juga sudah tidak mampu berfikir dengan baik. Bayangkan, ketika Ina mengesan masalah tersebut, Hatim berumur 12 tahun iaitu, dia berada dalam tahun 6. Haaa, bayangkan agak mengambil masa juga Ina nak perbetulkan kaedah yang memenatkan dirinya. 
Jika ini berlaku kepada anak ibu bapa sekalian, Ina cadangkan, ibu bapa melakukan demontrasi kepada anak iaitu, satu kaedah menulis yang memberikan imprint manakala satu lagi kaedah tidak menghasilkan imprint. Ibu bapa mesti tunjukkan perbezaan 2 kaedah yang Ina nyatakan tadi. Semasa terapi, sentiasa sematkan dalam minda anak kita bahawa menulis tidak memenat dan membebankan. Menulis juga merupakan sesuatu aktiviti yang santai atau relax. Rangsang mereka menulis dengan tidak memberi pressure pada bahu atau pergelangan tangan, hanya melibatkan jari-jemari sahaja. 
Rangsang kemahiran motor
Mak-mak perasan atau tidak, ada sesetengah tadika dan prasekolah yang melakukan aktiviti seperti mengoyak kertas, menguli doh, menggunting, memasukkan syiling ke dalam tabung dan sebagainya. Sebenarnya jika anak kita masih bermasalah dalam menulis, kita perlu merangsang aktiviti menguatkan motor halus anak kita. Ini penting kerana kita perlu menguatkan hand muscles.
Perlu fokus satu-satu
Ada ibu bapa yang suka melakukan 2-in-1 tasks iaitu, mereka suka mencampur adukkan terapi menulis dan terapi mengeja. Sebagai contohnya, jangan kita menegur kesalahan ejaan semasa kita melatih anak kita menulis. Ina menggalakkan ibu bapa mengasingkan sesi terapi menulis dan sesi terapi mengeja perkataan. Boleh, ya?
Setakat ini dulu perkongsian Ina, nanti Ina sambung tip seterusnya, ya. Jom Solat Zuhur. 


Wednesday, 16 January 2019

Perbezaan berat dan jisim

Teks: Hasnol bin Harun
Subjek: Sains

Sebelum saya menerangkan perbezaan antara berat dan jisim, saya ingin mengajak ibu bapa mendalami pengertian jirim terlebih dahulu.

Apakah jirim?
Para Saintis mendefinisikan jirim sebagai sesuatu yang mempunyai jisim dan memenuhi ruang.
Mari lihat di sekeliling kita, apakah objek yang mempunyai jisim dan memenuhi ruang.
Contoh: air, merkuri, emas, gas dan papan.
Semua contoh tersebut mempunyai jisim dan memenuhi ruang.

Saya terangkan lagi.
Jirim terdapat di merata-rata tempat.
Jirim boleh wujud dalam pelbagai bentuk seperti pepejal, cecair dan gas.
Jirim boleh mengalami perubahan fizikal.
Contoh: Air (jirim), air boleh dibeku atau dididihkan.

Apakah jisim?
Jisim didefinisikan sebagai bilangan atau jumlah jirim di dalam sesuatu objek.
Saya berikan suatu contoh:

Air ___ adalah jirim kerana air mempunyai jisim dan memenuhi ruang.
Persoalannya berapakah bilangan atau jumlah jisim di dalam air?
Untuk mengetahui bilangan atau jumlah jisimnya, kita perlu menggunakan alat pengukuran.

Antara alat pengukuran jisim adalah seperti neraca tuas, neraca elektronik atau neraca tiga alur.

Selepas melakukan pengukuran dengan menggunakan alat pengukuran, maka kita mestilah menggunakan unit.
Unit bagi jisim adalah Kilogram kg.

Ramai ibu bapa dan murid tersalah faham dengan jisim dan berat. Ini kerana, rata-rata penggunaan bahasa dalam percakapan seharian lebih menggunakan "berat".

Situasi di sekolah.
Guru : "Berapakah berat kamu, Habri?"

Situasi di klinik/hospital.
Jururawat : "Anak puan beratnya 3.5kg."

Situasi di pasar.
Mak Cik Piah: "Cuba timbangkan ikan ni. Berapa berat ikan ini?"

Situasi di rumah.
Emak: "Minta ayah kamu belikan beras yang beratnya 10kg."

Seperti yang saya maklumkan, apabila penggunaan bahasa kita yang kurang tepat maka, kecelaruan berlaku. Saya sendiri turut janggal menggunakan perkataan jisim ketika membeli ikan di pasar. Bimbang kalau-kalau nanti Si Penjual kata saya ni "pelik".


Pengertian berat? Mari dengar video saya mengenai pengertian berat.
Saya selesema hari ini. Asyik bersin sahaja. Harap penyampaian saya jelas.







Thursday, 10 January 2019

Sifir Berwarna

Teks: Mazlina binti Omar

Pada Ina, sifir wajib dan perlu dihafal. Terdapat banyak cara atau kaedah menghafal sifir. Sebagai ibu bapa kita harus mempelbagaikan teknik menghafal supaya anak kita mudah menguasai sifir. Antara teknik yang boleh digunakan sebagai langkah untuk menghafal sifir adalah seperti berikut:

1) Menghafal dengan cara menulis berulang kali.
2) Menghafal dengan kaedah nyanyian
3) Menghafal dengan menyebut secara berulang dan meminta orang lain menyemaknya
4) Menghafal dengan cara warna dan bentuk

Teknik 4 ini Ina kongsikan dalam video berikut. Sila rujuk Modul 3 Latihan dan Soalan sebelum menonton beberapa video daripada Episod 1 hingga Episod 
Untuk melihat video-video tersebut, ibu bapa perlu membuat belian Pakej Lengkap Belajar Di Rumah Tahun 2 dan Tahun 3 Edisi Disember (Siri 1). Pautan video akan diberikan melalui e-mel dan Whatsapp Group.