Thursday, 31 January 2019

Menulis karangan jenis surat kiriman tidak rasmi

Teks: Mazlina binti Omar
Hari ini ramai yang meminta Ina memberikan panduan menulis surat kiriman tidak rasmi. Ini kerana, dalam Edisi Januari, Ina meminta murid menulis karangan jenis surat kiriman tidak rasmi. Buat pengetahuan ibu bapa, surat kiriman ini sudah lama tidak keluar dalam UPSR sebenar. Jadi, karangan jenis ini sesuai dimasukkan dalam senarai pendek ulang kaji, atau ramalan mak-mak. 
Jom belajar mengenai surat kiriman.
Mak-mak sekalian, 
Karangan jenis surat kiriman tidak rasmi merupakan karangan berformat. Maksud karangan berformat, dalam erti kata mudah adalah karangan yang mengandungi "sistem dan peraturan". Beritahu kepada anak sedemikian supaya anak lebih memandang serius apabila mendengar karangan berformat. 
Surat kiriman tidak rasmi bersifat peribadi dan ditulis kepada rakan, ahli keluarga, saudara-mara dengan pelbagai tujuan. Antara tujuan surat dikirim adalah untuk mengucapkan tahniah, bertanya khabar, mengundang atau menceritakan sesuatu perkara atau peristiwa.
Mak-mak harus ingatkan anak-anak, antara "sistem dan peraturan" dalam menulis surat kiriman tidak rasmi, adalah mengenai penggunaan kata ganti diri. Yang berikut ialah senarai kata ganti diri.
Ayah/ bapa saudara: ayahanda
Ibu / ibu saudara: ibunda/bonda
Anak: anakanda
Adik: adinda
Datuk/nenek: nenda/nenenda
Cucu: cucunda
Penerima lelaki: saudara
Penerima perempuan: saudari
Selain itu, tunjukkan cara-cara menulis alamat. Rupanya, dalam kelas Ina di pusat tuisyen, ramai lagi anak-anak yang masih belum tahu cara yang betul menulis alamat. 


* No. (masukkan nombor rumah) dan diikuti dengan koma(,)
*Jalan / Lorong diikuti dengan koma (,)
*Nama Taman diikuti dengan koma(,)
*Poskod dan Pekan/Daerah diikuti dengan koma (,)
*Negeri diikuti nokhtah (.)
Jangan lupa tulis tarikh. Tarikh ditulis di bawah alamat. Letak nokhtah (.) di hujungnya. 
 Apa lagi yang mak-mak perlu tahu supaya anak boleh menulis surat dengan baik?
Tunjukkan kaedah merangka karangan. Ketika menulis surat juga perlu ada kerangka. Ramai murid suka "hentam" sahaja. Jangan, jangan! Ingat Bahagian C ini, markahnya sangat tinggi, 25 markah tau.
Mulakan menulis dengan merapatkan tulisan di bahagian kiri. Tiada indent maksudnya. Ini kerana kita perlu mengikut format penulisan buku teks DBP. 
Setelah selesai menghurai isi dalam perenggan, sudahi dengan penutup. Tuliskan "Yang ikhlas" atau "Yang benar" dan diikuti tanda koma (,).
Di bawah "Yang benar" perlu disusuli dengan tandatangan pengirim surat. 

Selamat menjawab Kertas Ujian Januari dan Kertas Percubaan Peperiksaan UPSR Januari. 


No comments:

Post a Comment